SMS aritu...tipulah
BANGI, 16 Mac: Majlis Perwakilan Mahasiswa UKM (MPMUKM) menyeru kepada semua pihak agar bersikap rasional dan matang dalam memahami dan menangani isu kemalangan reaktor di Jepun.
“Kita seharusnya bersikap rasional dan matang dalam hal (kemalangan reaktor) ini,” kata Speaker MPMUKM, Mohd Arif Misrol.
Katanya, kekalutan dan kekeliruan maklumat yang ditimbulkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab harus ditangani dengan cermat agar ia tidak menimbulkan polemik kepada semua.
Ketika diminta mengulas tentang kemalangan di Kompleks Reaktor Fukushima Daiichi di Jepun, beliau yang juga merupakan siswazah Sarjana Keselamatan Sinaran dan Nuklear berkata, letupan yang berlaku bukanlah letupan daripada tindak balas nuklear, tetapi berpunca daripada tindak balas kimia gas hidrogen dengan oksigen.
“Teras (core) reaktor tidak mengalami kebocoran dan masih stabil. Tidak timbul isu kemalangan ini bakal mengulangi peristiwa Chernobyl pada 1986,” katanya.
Tambahnya, kesan kemalangan itu tidak merebak ke Malaysia.
Menurutnya lagi, sehingga hari ini, pengesan keradioaktifan di stesen-stesen terpilih di negara ini menunjukkan bacaan yang normal.
“Pada peringkat Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), kemalangan ini berada pada tahap 4 (paling tinggi 7) iaitu kemalangan yang memberi ‘kesan pada peringkat tempatan’ (accident with local consequences)”
“Berkaitan dengan kesan radiasi, bacaan tertinggi dicatatkan dalam reaktor, tetapi tahap radiasi ini akan menurun ke tahap yang secara relatif masih selamat di luar reaktor. Cuma sebagai langkah berjaga-jaga, pemindahan orang awam dilakukan,” ujarnya.
Sambil menasihatkan pengamal media dan pemimpin negara agar berhati-hati dan mengkaji dalam menyampaikan maklumat dan memberikan pandangan, beliau berkata, pengamal media tidak harus menggunakan peristiwa itu sebagai bahan sensasi yang menimbulkan suasana yang tidak selesa di negara ini.
Katanya, mereka perlu menanamkan kefahaman yang betul kerana ini yang lebih baik dalam usaha menunaikan tuntutan mereka untuk mendidik rakyat.
Beliau menambah, pemimpin negara harus berilmu dan dilihat berpengetahuan dalam menyampaikan pandangan. Baginya, agak memalukan sekiranya penerangan yang diberikan tersasar dan bersalahan dengan fakta yang sebenar. Justeru, beliau mencadangkan agar pakar-pakar yang berkaitan dengan perkara itu, terutama daripada Jabatan Sains Nuklear UKM, Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) dan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) diberikan peluang seluas-luasnya oleh semua pihak untuk memberikan pandangan dan nasihat, sama ada dalam temuramah televisyen, penulisan akhbar dan kenyataan akhbar agar polemik ini dapat ditangani dengan sihat dan matang.
0 komentar: