Sambutan hari kemerdekaan ke-53

Tuesday, August 31, 2010 0 Comments


Jika ditanya apa yang istimewanya pada tarikh 31 Ogos, mungkin setiap individu akan memberikan jawapan yang sedikit berbeza. 31 Ogos adalah sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia, Hari Kebangsaan Negara, Tarikh Pengisytiharan Kemerdekaan Tanah Melayu dan tak kurang juga ada yang menjawab itu adalah tarikh lahirnya.
 
Apapun jawapan yang diberikan, yang pasti daripada tarikh itu setiap “rakyat” negara ini pastinya akan dapat mengingati sedikit-sebanyak peristiwa di sebalik tarikh tersebut, melainkan dia hanyalah seorang “penduduk” di negara ini yang kurang mengambil peduli sejarah yang tercatat pada tarikh berkenaan.

Pada tahun ini, jika masih diberi peluang bernafas sehingga 31 Ogos nanti, maka sekali lagi kita berpeluang mengingati peristiwa atau detik-detik kemerdekaan Tanah Melayu. Tahun 2010 ni adalah tahun kemerdekaan yang ke-53 sejak pengisytiharan pada tahun 1957.

Ulang tahun kemerdekaan negara ke-53 semalam disambut meriah, walaupun sambutan kali ini tanpa perbarisan atau pertunjukan bunga api serta konsert kerana bertembung dengan Ramadan.
Sambutan bermula sejak malam semalam dengan pelbagai acara termasuk majlis berbuka puasa, tahlil dan solat Tarawih berjemaah di seluruh negara.
Majlis peringkat nasional diadakan di Stadium Putra Bukit Jalil dengan kehadiran lebih 10,000 orang, walaupun kali pertama diadakan di kawasan tertutup berikutan Ramadan. Malah, sambutan dengan tema 1Malaysia Menjana Transformasi itu dilihat lebih kreatif dan inovasi dari pelbagai aspek.

Acara bermula jam 8 pagi sejurus keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah, diiringi tiupan nafiri. Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Puan Sri Norainee Abdul Rahman.

Turut hadir bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali serta menteri Kabinet yang memakai pakaian batik 1Malaysia, selain dihadiri duta asing dan pemimpin parti politik.

Ketibaan tetamu kehormat disambut lambaian dan sorakan 940 anggota kontinjen di sepanjang jalan masuk ke Stadium Putra.
Tuanku Mizan kemudian mengambil tabik hormat sebelum lagu Negaraku dimainkan Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja, sebelum memeriksa kawalan kehormat utama empat pegawai dan 107 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.

Acara kemudian diteruskan dengan upacara menaikkan Jalur Gemilang serentak nyanyian lagu Negaraku dan 14 das tembakan meriam, diikuti bacaan ikrar oleh 53 orang termasuk wakil pendidik, perkhidmatan awam, swasta, perbadanan bukan kerajaan, seni dan budaya serta orang kurang upaya daripada pelbagai kaum.

Di KUANTAN, kira-kira 3,000 peserta membabitkan 51 kontinjen dari pelbagai agensi kerajaan dan pertubuhan berhimpun di Stadium Tertutup Sukan Pahang (SUKPA) bagi meraikan sambutan peringkat negeri.

Turut berangkat ialah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar serta Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan isteri, Datin Seri Junaini Kassim dan pemimpin kerajaan negeri.

Di MIRI, Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhamad Salahuddin Abang Barieng mengetuai sambutan di Stadium Tertutup Miri yang turut dihadiri Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan disertai kira-kira 5,000 warga bandar raya itu.

Di KUALA TERENGGANU, sambutan berlangsung sederhana di Masjid Kristal, Taman Tamadun Islam dan dihadiri lebih 500 orang. Sambutan dimulakan dengan ucapan sempena kemerdekaan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, diikuti tahlil, majlis berbuka puasa, solat Maghrib berjemaah, solat hajat dan Tarawih.

Di IPOH, lebih 3,000 orang sekitar bandar raya ini tidak melepaskan peluang menyaksikan perarakan yang dihadiri Sultan Perak, Sultan Azlan Shah; Raja Muda, Raja Dr Nazrin Shah; Raja DiHilir, Raja Datuk Seri Jaafar Raja Muda Musa; Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan barisan Exco kerajaan negeri.

Di GEORGETOWN, lebih 10,000 orang membanjiri jalan utama Padang Kota untuk menyaksikan sambutan peringkat negeri yang disertai 82 kontinjen daripada pelbagai agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan institusi pengajian tinggi.

Di KANGAR, sebanyak 53 merpati bersama sejambak belon berwarna-warni dilepaskan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail ditemani Raja Perempuan Perlis, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid, dengan disaksikan lebih 5,000 hadirin di Dataran Merdeka, sebagai simbolik mewakili 53 tahun negara bebas daripada cengkaman penjajah.

Di ALOR SETAR, Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dalam ucapannya menggesa rakyat menghargai institusi Raja Berperlembagaan yang menjadi payung penyatuan bangsa Malaysia dalam menjamin kesejahteraan dan kemakmuran hidup.

Di MELAKA, lebih 6,000 orang termasuk Yang di-Pertua negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob dan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam menyaksikan sambutan kemerdekaan peringkat negeri di Dewan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh.

Di KOTA KINABALU, lebih 3,000 orang menghadiri sambutan yang diadakan secara sederhana di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Likas.

Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Ahmadshah Abdullah dan isteri, Toh Puan Dayang Masuyah Awang Japar menghadiri acara berkenaan, selain Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dan isteri, Datin Seri Faridah Tussin serta timbalannya, Datuk Yahya Hussin.

Sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Lebih10_000penuhistadium/Article/index_html 

malaysiamajusangat

Anak yang "Sejuk Perut Ibu Mengandung" itu bukan yang lulus universiti,bukan yang ada PHD, bukan yang bergaji 18ribu sebulan...tapi ialah anak yang berjasa kepada kedua orang tuanya dan yang sentiasa berdoa dan membaca Al-Quran untuk roh mereka - UAI

0 komentar:

Ada lagi...

PAKATAN HARAPAN RAKYAT

PAKATAN  HARAPAN RAKYAT