Keranda ceria untuk si mati

Elsie Chua (kiri) bersama dua rakannya duduk dekat keranda masing-masing yang mempunyai hiasan ceria di rumah kebajikan St. Joseph's Home


Seorang wanita dari Belgium, Ines van Gucht berusia 27 tahun semalam memenangi wang tunai AS$3,000 (RM9,282) kerana memenangi tempat pertama pertandingan mencipta keranda ceria.
Wanita itu menghiasi sebuah keranda yang menunjukkan satu makhluk berwarna gelap yang dianggapnya sebagai seorang rakan yang akan menemaninya selepas dia meninggal dunia.
Sebanyak enam rekaan dari 733 permohonan dijadikan hiasan keranda peribadi dalam pertandingan yang dianjurkan dengan kerjasama rumah kebajikan St. Joseph's Home di sini.
Dalam pertandingan itu, terdapat rekaan hiasan keranda yang mirip batang coklat dan lukisan mengenai makanan malam.
Tiga wanita Singapura yang tinggal di rumah kebajikan itu turut mencipta hiasan keranda masing-masing bersama artis tempatan dalam projek keranda ceria.
Ketiga-tiga wanita itu akan menggunakan keranda 'berhias' itu apabila mereka meninggal dunia.
"Saya berasa gembira dengan keranda ini," kata salah seorang wanita itu, Elsie Chua yang berumur 76 tahun.

0 komentar:

Adab Menyambut HAri Raya Aidilfiri

Monday, September 06, 2010 0 Comments

Sebagai hadiah kemenangan orang-orang Islam dalam perjuangan mengengkang hawa nafsu di bulan Ramadhan Allah Subhanahu wa Ta‘ala membalasnya dengan satu hari yang dinamakan ‘Idulfitri atau Hari Raya Fitrah, di mana Allah Subhanahu wa Ta‘ala menghalalkan mereka berbuka puasa dan mengharamkan berpuasa pada hari tersebut.
Dalam keghairahan menyambut Hari Raya yang mulia adalah wajar ianya disambut mengikut lunas- lunas yang digariskan oleh Syara‘ dan tidak dicampurbaurkan dengan perkara-perkara yang dilarang atau yang diharamkan. Hari Raya memang tidak boleh disamakan dengan sambutan perayaan- perayaan yang lain, kerana ianya merupakan kurniaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala khusus kepada hamba- hamba yang beribadat dan berjuang melawan hawa nafsu sepanjang bulan Ramadhan.
Apakah adab-adab dan perkara-perkara sunat yang dilakukan ketika menyambut kedatangan Hari Raya?
Banyak fadilat atau kelebihan yang terdapat pada malam Hari Raya. Oleh sebab itu, di antara adab-adab dan perkara-perkara sunat yang telah digariskan oleh Syara‘ untuk kita melakukannya ialah menghidupkan malam Hari Raya itu dengan melakukan amal-amal ibadat seperti mendirikan sembahyang fardhu secara berjemaah, melakukan sembahyang sunat, bertakbir, memanjatkan doa ke hadrat Ilahi dan melakukan apa- apa jua bentuk perkara yang berkebajikan.
Al-Imam Al-Syafie Rahimahullahu Ta‘ala telah menegaskan bahawa malam Hari Raya itu adalah di antara malam-malam yang mudah diperkenankan doa, sebagaimana beliau berkata di dalam kitabnya Al-Umm: "Telah sampai kepada kami bahawasanya pernah dikatakan, sesungguhnya doa itu sungguh mustajab pada lima malam; malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya Fitrah, awal malam Rajab dan malam Nisfu Sya‘ban.
Perlu diingat juga, kelebihan menghidupkan malam Hari Raya itu tidak akan diperolehi melainkan dengan mengisi dan menghidupkan sebahagian besar malam tersebut, sebagaimana mengikut pendapat yang shahih.
Kemeriahan Hari Raya lebih dirasai apabila laungan takbir bergema. Namun begitu, tidak bermakna takbir itu semata-mata untuk memeriahkan suasana tetapi lebih dari itu, ianya lebih bersifat untuk melahirkan rasa kesyukuran dan mengagungkan Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Allah memerintahkan kepada kita mengakui akan kebesaran dan keagunganNya dengan mengucapkan takbir.
Ucapan takbir pada malam Hari Raya itu merupakan ibadah yang kita lakukan untuk melepaskan Ramadhan dan untuk menyambut kedatangan ‘Idulfitri. Oleh sebab itu, disunatkan kepada kita mengucapkan takbir dengan mengangkat suara, bermula waktunya dari terbenam matahari malam Hari Raya sehingga imam mengangkat takbiratul ihram sembahyang Hari Raya. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: "Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjukNya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur."
(Surah Al-Baqarah : 185)

Di pagi Hari Raya pula disunatkan mandi kerana Hari Raya sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas dan Al-Fakih bin Sa‘d Radhiallahu ‘anhum bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melakukan mandi pada Hari Raya Fitrah dan Hari Raya Adha. Hadits ini dikeluarkan oleh Ibnu Majah.
Di samping itu disunatkan juga memakai pakaian yang sebagus-bagusnya, memakai harum-haruman dan menghilangkan segala bau-bau yang tidak elok. Tidak kira sama ada orang itu hendak keluar pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang Hari Raya ataupun duduk sahaja di rumah, kerana hari tersebut merupakan hari untuk berhias-hias dan berelok-elok. Diriwayatkan daripada Ja‘far bin Muhammad daripada bapanya daripada datuknya:
Maksudnya: "Bahawasanya Shallallahu ‘alaihi wasallam memakai kain yang bergaris-garis (untuk diperselimutkan pada badan) pada setiap kali Hari Raya."
(Hadits riwayat Al-Syafi‘e dan Al-Baghawi)
Sebelum keluar pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang sunat Hari Raya Fitrah disunatkan makan dan minum terlebih dahulu kerana mengikut apa yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana yang diriwayatkan daripada Anas Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: "Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak keluar pada waktu pagi Hari Raya Fitrah sehingga Baginda makan (terlebih dahulu) beberapa biji tamar dan Baginda memakannya dalam bilangan ganjil."
(Hadits riwayat Al-Bukhari dan Ahmad)
Selain itu, Hari Raya merupakan hari kemenangan dan kegembiraan, maka sebab itu disunatkan bagi sesama muslim saling mengucapkan tahniah antara satu sama lain dengan mengucapkan:
Ertinya: "Semoga Allah menerima daripada kita dan menerimaNya daripada awak."
Daripada Jubair bin Nufair, di mana beliau merupakan salah seorang Tabi‘en (orang-orang yang datang setelah Sahabat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam) telah berkata (maksudnya): "Sahabat- sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila mereka berjumpa di Hari Raya, setengahnya mengucapkan kepada setengah yang lain:
Ertinya: "Semoga Allah menerima daripada kami dan menerimaNya daripada awak."
Menurut pandangan jumhur ulama bahawa mengucapkan tahniah di Hari Raya merupakan sesuatu perkara yang disyari‘atkan di dalam Islam.
Al-Imam Al-Qalyubi menaqalkan daripada Al-Imam Ibnu Hajar bahawa memberi atau mengucapkan tahniah pada hari-hari raya, bulan-bulan dan tahun- tahun (kerana ketibaannya) merupakan perkara yang disunatkan. Al-Imam Al-Baijuri mengatakan: Inilah yang yang dii‘timadkan.(Al-Mausu‘ah Al-Fiqhiyyah, Juz 14, m.s. 100)

Manakala itu pula, amalan saling ziarah menziarahi rumah terutama sekali saudara mara terdekat dan sahabat handai merupakan suatu tradisi yang sentiasa diamalkan ketika menyambut Hari Raya. Amalan ini juga sebenarnya termasuk di dalam perkara yang digemari dan disyariatkan di dalam Islam.
Dalil yang menunjukkan pensyariatannya sebagaimana yang diriwayatkan daripada Aisyah Radhiallahu ‘anha, beliau berkata:
Maksudnya: "Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam masuk kepadaku, dan di sisiku ada dua orang anak perempuan yang menyanyi dengan nyanyian Bu‘ats. Lalu Baginda baring di atas hamparan dan memalingkan mukanya, dan kemudian Abu Bakar masuk, lalu mengherdikku dengan berkata: "Seruling syaitan di sisi (di tempat) Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam!" Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menghadap kepada Abu Bakar lalu berkata: "Biarkan mereka berdua itu." Melalui riwayat Hisyam Baginda menambah: "Wahai Abu Bakar, masing-masing kaum ada hari rayanya, dan hari ini adalah Hari Raya kita."
(Hadits riwayat Al-Bukhari)

Al-Hafizh Ibnu Hajar Al-‘Asqalani menerangkan di dalam kitabnya Fath Al-Baari bahawa kedatangan atau masuknya Abu Bakar Radhiallahu ‘anhu ke dalam rumah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menunjukkan seolah-olah Abu Bakar Radhiallahu ‘anhu datang sebagai pengunjung atau penziarah selepas masuknya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ke dalam rumah Baginda.
(Al-Fath Al-Baari, Juz 3, m.s. 116 & Al-Mausu‘ah Al-Fiqhiyyah, Juz 31, m.s. 117)
Sehubungan dengan perkara ziarah menziarahi ini, adalah ditekankan kepada orang yang pergi berziarah supaya sentiasa komited terhadap etika ziarah yang ditetapkan oleh Islam. Umpamanya hendaklah meminta izin atau memberi salam sebelum masuk, tidak menghadapkan muka langsung ke arah pintu, menjaga adab kesopanan ketika berada di dalam rumah orang yang diziarahi, memilih waktu yang sesuai untuk berziarah dan sebagainya.
Dalam keghairahan menyambut Hari Raya, perlu diingat jangan sekali-kali sampai lupa kewajipan kita kepada Allah Ta‘ala iaitu mendirikan sembahyang fardhu, dan kerana terlalu seronok jangan pula adanya berlaku perlanggaran batasan-batasan agama.
Apa yang di harapkan daripada sambutan Hari Raya sebenarnya bukannya semata-mata kegembiraan atau keseronokan tetapi yang lebih penting dan lebih utama lagi ialah mendapatkan keberkatan dan keredhaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Semoga kita semuanya mendapat keberkatan dan keredhaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala kerana menghidupkan, membesarkan dan mengagungkan Hari Raya Idulfiri.

0 komentar:

Enam Dekad Nakbah Palestin

Thursday, September 02, 2010 0 Comments

( Sempena 60 tahun Nakbah (malapetaka) pembentukan Negara Haram Israel sejak 15hb Mei 1948 )

Istilah Nakbah mungkin adalah satu perkataan yang agak asing bagi sebahagian rakyat Malaysia melainkan buat mereka yang benar-benar prihatin mengenai isu umat Islam antarabangsa terutamanya di Palestin.
NAKBAH bermaksud malapetaka atau bencana besar. Manakala Nakbah Palestin merujuk kepada penubuhan Negara Haram Israel yang telah diistiharkan secara resminya pada 15hb Mei 1948. Peristiwa ini berlaku selepas terlaksananya kependudukan dan penjajahan haram oleh rejim Yahudi Zionis ke atas tanah dan penduduk asal Negara Palestin secara sistematik dengan bantuan British dan PBB. Tarikh penting tersebut adalah detik hitam buat penduduk asal bumi Palestin, orang-orang Arab dan dunia Islam secara keseluruhannya. Negara Palestin yang selama ini telah dinaungi kedamaian dan keadilan untuk ribuan tahun itu semakin merasai keperitan, kepedihan dan derita yang berpanjangan apabila mereka berada di bawah jajahan dan kongkongan Yahudi Zionis sejak enam dekad yang lalu.
Pencetus penubuhan negara Yahudi
Cadangan penubuhan negara khas untuk orang-orang Yahudi telah dibuat oleh seorang wartawan Hungari, Theodore Hertzl yang merupakan pengasas gerakan Zionis di dalam gagasannya yang kemudiannya dibukukan di dalam Die Judem Stat (Negara Yahudi) pada 1896. Kewujudan Pertubuhan Yahudi Antarabangsa (WZO) melalui persidangannya yang pertama di Basle, Switzerland pada 27-29hb Ogos 1897 di bawah pimpinannya telah membuka era aktiviti politik Zionis, mengorak langkah kepada pembentukan Negara Yahudi di Palestin.
Pemangkin pendudukan haram Yahudi di bumi Palestin
British yang merupakan sekutu kuat gerakan Zionis telah sentiasa menyebelahi mereka dengan mengisytiharkan Deklarasi Balfour pada 2hb November 1917 apabila kerajaan British telah memberi jaminan untuk mewujudkan sebuah negara khusus untuk bangsa Yahudi di Palestin. Ini merupakan usaha yang paling jahat dalam sejarah peradaban dunia kerana dengan jelas ianya mencabuli perjanjian antarabangsa. Dengan angkuhnya deklarasi ini telah menidakkan hak dan aspirasi penduduk bumi Palestin yang sah yang kemudiannya telah diikuti dengan penjajahan Palestin oleh tentera British.
Selepas itu berlakulah penghijrahan beramai-ramai yang sistematik yang melibatkan ratusan ribu Yahudi Eropah dan Rusia ke Palestin. Sedikit demi sedikit tanah milik penduduk Palestin dirampas samada dengan cara kekerasan mahupun dengan cara penipuan oleh pendatang Yahudi.
Peranan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)
Isu Palestin semakin panas dan mula dibawa ke peringkat antarabangsa di atas tuntutan British yang meminta supaya PBB memasukkan isu tersebut ke dalam agendanya. Laporan Badan Penyelidik Antarabangsa Palestin (UNSCOP) milik PBB telah mengakui tentang ketidak-adilan pengambilan tanah serta cadangan pembahagian bumi Palestin kepada dua buah negara yang berasingan iaitu Palestin dan Yahudi. Namun rentetan duka Palestin semakin berpanjangan apabila sidang pleno PBB yang dipengaruhi Yahudi telah mengeluarkan ‘Ketetapan 181’ yang malang pada 29hb November 1947 dengan membahagikan 2/3 tanah Negara Palestin kepada pendatang Yahudi manakala bakinya yang hanya 1/3 keluasan tanah pula diberikan kepada penduduk asal Palestin yang sah.
Ketetapan ini sangat bercanggah dengan prinsip PBB sendiri iaitu untuk melaksanakan ketetapan hak-hak bangsa dari segi kebebasan dan penentuan nasib mereka sendiri. Rakyat Palestin yang terlibat dengan isu ini tidak langsung diminta pendapat dan keizinan malahan mereka mengalami kezaliman dan penindasan yang amat dahsyat.
Kelemahan Liga Negara Arab
Rakyat Palestin adalah antara bangsa yang paling malang di dunia kerana dilupakan oleh PBB, negara-negara Arab dan juga umat Islam sendiri. Ketika Yahudi Zionis erat bekerjasama dengan British dan PBB demi mencapai cita-cita mereka, Liga Negara Arab pula gagal membantu perjuangan rakyat Palestin bagi mempertahankan hak-hak asasi mereka dalam mempertahankan kedaulatan Negara Palestin yang telah mereka diami sejak 4500 tahun lamanya.
Penglibatan tentera dari Liga Negara Arab yang digembar-gemburkan itu hanyalah merupakan tragedi apabila mereka telah ditewaskan dengan mudah oleh angkatan tentera pengganas Yahudi yang juga telah meresap ke dalam pimpinan tentera Liga Negara Arab.
Dengan kekalahan yang mengaibkan tentera Arab di dalam peperangan ini dan diikuti dengan penaklukan 78 % bumi Palestin, Yahudi Zionis telah mengumumkan Negara “Israel” pada petang 14hb Mei 1948. British mengundurkan tentera dan pemerintahannya ke atas Palestin apabila Negara Israel yang merdeka diistiharkan secara resminya pada 15hb Mei 1948.
Kemerdekaan Israel adalah Malapetaka Palestin
Kesan langsung dari nakbah atau malapetaka ini ialah kekejaman pasukan tentera pengganas Yahudi Zionis yang telah bertindak mengusir lebih daripada 60 % rakyat Palestin (lebih kurang 800 000 orang daripada sejumlah 1.39 juta rakyat) ke luar negara manakala 30 ribu yang lain telah diusir ke daerah-daerah yang ditakluki mereka.
Daripada jumlah 580 perkampungan rakyat Palestin yang wujud sebelum perang 1948, rejim Zionis telah menghancurkan 478 buah kampung serta terlibat dalam lebih 34 jenayah pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin.
Antara yang paling kejam ialah tragedi Deir Yassin pada 9hb April 1948 yang melibatkan pembunuhan seramai 254 orang termasuk orang-orang tua, wanita dan 52 orang kanak-kanak. Petugas Palang Merah dan PBB sendiri menyaksikan bagaimana rumah-rumah rakyat Palestin dibakar dan orang yang cuba menyelamatkan diri ditembak. Dalam serangan itu, wanita-wanita yang hamil telah dibelah perutnya dan dikeluarkan janin dan bayi hidup-hidup dari rahim ibunya. 52 orang kanak-kanak pula telah disiksa di depan ibu bapa mereka, lalu mereka dibunuh dan dipenggal kepalanya.
Arafat Hijazi, salah seorang saksi yang masih hidup menceritakan,”Saya melihat seorang tentera Yahudi memegang saudara saya, Saliha al Halabi yang hamil Sembilan bulan. Dia meletakkan senapangnya di leher Saliha lalu memuntahkan peluru sehingga Saliha terbunuh. Tentera tersebut mengambil sebilah pisau lalu membelah perutnya sehingga terburai, kemudian mengeluarkan anak Saliha yang telah mati dengan pisau Nazinya yang mengerikan itu”.
Peperangan 1948 telah memusnahkan kehidupan rakyat Palestin yang telah hidup di bumi bertuah ini sejak ribuan tahun lamanya. Sesungguhnya amat tidak adil apabila Yahudi menjadikan Holocaust atau peristiwa pembunuhan bangsa mereka di Eropah oleh Nazi Jerman sebagai alasan untuk mereka membina rejim mereka di atas lautan, penderitaan dan keperitan rakyat Palestin.
Mereka sengaja melupakan bahawa bangsa Yahudi bukanlah penduduk asal bumi Palestin sehinggakan pemerintah tentera mereka yang kemudiannya dilantik sebagai menteri pertahanan, Moshe Dayan mengakui sendiri bahawa setiap penempatan Yahudi dibina dari keruntuhan perkampungan rakyat Palestin. Ini adalah jenayah yang terancang melalui perencanaan dan pengiktirafan sebelumnya.
Jenayah Ini disahkan lagi apabila PBB yang telah mengeluarkan lebih daripada 110 resolusi mereka (sehingga tahun 2000) supaya mengembalikan hak 4.4 juta pelarian Palestin supaya dibenarkan pulang ke kampung halaman mereka. Namun tidak ada satu pun daripada resolusi-resolusi ini yang dilaksanakan oleh rejim Yahudi Zionis.
Nakbah 1948 yang melanda Palestin juga menimbulkan kenangan pahit dan perasaan terhina yang mendalam di kalangan rakyat Palestin, orang-orang Arab dan umat Islam secara keseluruhannya sehingga ke hari ini.
Enam Dekad Nakbah
Kini 60 tahun telah berlalunya Nakbah Palestin, namun rakyat dan Negara Palestin terus diganyang Yahudi Zionis sehinggakan :
  1. Rejim Zionis terus yang melakukan penindasan terhadap rakyat Palestin seperti meruntuhkan rumah-rumah mereka, membakar kebun-kebun mereka dan memperluaskan kawasan penempatan pendatang haram Yahudi. Sehingga kini yahudi telahpun merampas dan menguasai kira-kira 90 % dari keseluruhan bumi Palestin.
  2. Peningkatan serangan ke atas Masjid Al Aqsa oleh ekstrimis Zionis yang semakin kerap mencabul kehormatan dan kesucian qiblat pertama umat Islam di dalam rangka mereka MengYahudikan Baitul Maqdis. Mereka bercita-cita untuk meruntuhkan masjid Al Aqsa dan mendirikan Kuil Yahudi di atas tapak masjid sekarang.
  3. Melakukan penangkapan dan pemenjaraan orang-orang Palestin yang tidak bersalah sehingga lebih daripada 12 ribu di kalangan mereka kini merengkok di dalam penjara Israel. Di kalangan mereka adalah orang-orang tua, kanak-kanak malahan juga wanita yang hamil lagi sakit.
  4. Sekatan ekonomi yang dirancang secara rapi oleh Zionis menyebabkan orang-orang Palestin tersepit dan terpaksa bergantung kepada sumber pekerjaan yang dimiliki oleh Yahudi. Akibatnya ramai di kalangan rakyat Palestin yang menganggur dan dibelenggu kemiskinan serta kebuluran.
  5. Ramai di kalangan kanak-kanak palestin yang telah dinafikan hak mereka untuk belajar sehinggakan jumlah mereka yang sempat ke pengajian menengah adalah dari peratusan yang sangat kecil.
  6. Rejim Zionis tanpa malu dan segan telah membina tembok pemisah gergasi yang terpanjang di dunia iaitu sepanjang 720 km di Tebing Barat yang menyekat penghidupan rakyat Palestin di sana serta menjadikan Tebing Barat sebagai penjara yang terbesar di dunia.
  7. Dijangkakan seramai 6.45 juta di kalangan rakyat Palestin adalah pelarian yang hidup dengan penuh kedaifan sejak 60 tahun yang lalu. Inilah jumlah pelarian yang paling lama dan paling ramai di dalam sejarah peradaban dunia.
  8. Rejim Zionis kini berterusan menyiksa dan membunuh rakyat Palestin terutamanya di Gaza yang turut diakui pemimpin kanan mereka sebagai holocaust yang lebih hebat.
Penindasan, penodaan dan kekejaman yang dilakukan oleh rejim Israel ini terhadap rakyat dan negara Palestin telah berlaku dalam tempoh yang amat panjang dan berlarutan. Sudah tentulah ianya tidak harus dibiarkan begitu sahaja.
Peranan masyarakat antarabangsa
Fakta-fakta sejarah, kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa amat memihak kepada rakyat Palestin yang berhak memiliki ketuanan dan kedaulatan di bumi mereka sediri.
Rejim Zionis Israel kini mendapati bahawa mereka tidak boleh mengawal keadaan rakyat dan negara Palestin. Malahan mereka terpaksa membuat berbagai pendekatan yang keras mahupun dengan cara berkompromi untuk berhadapan dengan kebangkitan rakyat Palestin. Mereka menggunakan pelbagai strategi terutamanya dengan mempengaruhi sekutu kuat mereka iaitu Amerika Syarikat untuk menangai permasalahan yang terus berpanjangan.
PBB dan masyarakat antarabangsa yang sentiasa memperjuangkan keadilan semestinya teguh dalam membuat pendirian dan tidak dipengaruhi oleh lobi Yahudi Zionis di dalam membuat dan melaksanakan keputusan-keputusan mereka. Kependudukan dan negara Palestin mesti dikembalikan kepada pemilik asal yang sah yang pernah mendiami bumi ini sejak sekian lama.
Peranan umat Islam
Bumi Palestin adalah tanah yang mulia untuk seluruh umat Islam kerana di situlah letaknya Masjid Al Aqsa yang merupakan qiblat pertama umat, tempat berlakunya peristiwa Isra dan Mi’raj, Tanah Suci umat Islam yang ke tiga yang juga merupakan bumi para Nabi. Isu Palestin bukanlah sekadar isu untuk orang-orang Palestin atau orang-orang Arab sahaja. Bahkan isu ini adalah isu penting yang berkaitan dengan keimanan untuk semua umat Islam di seluruh dunia.
Umat Islam di seluruh dunia seharusnya bersatu memperjuangkan isu Palestin yang merupakan isu induk umat Islam di abad ini. Perselisihan dan perbezaan budaya, geografi, bahasa dan bangsa sudah semestinya diketepikan demi menjayakan misi besar dalam menyelesaikan masalah ini. Negara –negara Islam perlu berani dan ikhlas membantu terutamanya dari segi kemanusiaan setelah ratusan ribu nyawa yang tidak berdosa terkorban dalam krisis yang berlarutan sekian lamanya.
Di Malaysia
Kefahaman mengenai isu ini masih perlu diperluaskan lagi di kalangan masyarakat Malaysia yang pelbagai melalui penulisan di akhbar-akhbar dan majalah, ceramah-ceramah dan pameran-pameran serta media elektronik. Sumbangan kemanusiaan pula mesti dipergiatkan bagi membantu rakyat Palestin yang telah sekian lama tertindas. Tidak keterlaluan jika kita mengatakan bahawa Malaysia seharusnya menjuarai isu sejagat ini, bukan sahaja di kalangan kita bahkan di persada antarabangsa.
Persoalannya, adakah kita telah berbuat sesuatu bagi meringankan beban dan kesangsaraan yang mereka alami selama ini?
Dr Zainur Rashid Zainuddin
Biro Dakwah
ISMA Negeri Sembilan
Nota: Rujukan
  • Basheer M. Nafi , Mohsein M.Soleh. The Palestinian Strategic Report for the year 2005. Al Zaytouna Centre For Studies and Consultations. Beirut 2007
  • Francis A.Boyle. Palestine, Palestinians and International Law. Crescent News Kuala Lumpur 2007.
  • Harun Yahya. Palestine – Zionisme and Israel Terorisme. Islamic Book Service. Delhi 2003
  • Mohsen M.Saleh. History of Palestine. A Methodical Study of the Palestinian Struggle. Al Falah Foundation. Cairo 2005.
  • Mohsen M. Saleh. Isu Palestin – Latar Belakang dan Kronologi Perkembangannya. Fajar Ulung Kuala Lumpur 2001
  • Tareq M. Suwaidan. Palestine – Yesterday, today and tomorrow. Ebbad Co. Kuwait. 2006.
  • Yusuf Al Qardawi. Baitul Maqdis – Tanggung-jawab setiap Muslim (versi BM). Pustaka Syuhada Kuala Lumpur 1999.
 - dipetik daripada laman web ISMA dalam entri bertajuk Enam Dekad Nakbah Palestin -

0 komentar:

Ada lagi...

PAKATAN HARAPAN RAKYAT

PAKATAN  HARAPAN RAKYAT