Tentera Pembebasan Nasional Malaya : Rejimen Ke-10
Pada 21 Mei 1949, Rejimen Ke-10 telah dirasmikan di hutan Kerdau Daerah
Temerloh, Pahang. Rejimen Ke-10 adalah sebuah pasukan gerila Melayu,
terdiri dari putera puteri kaum buruh dan tani Melayu yang inginkan
kemerdekaan penuh tanah air dan pembebasan rakyat.
Bapa Abdullah C.D. seorang anggota KMM (Kesatuan Melayu Muda) dan anggota Jawatankuasa Pusat PKMM (Parti Kebangsaan Melayu Malaya) adalah penaja dan pemimpin pasukan ini dari awal sampai akhir. Berikut adalah petikan tulisan beliau berkenaan penubuhan Rejimen Ke-10.
Bapa Abdullah C.D. seorang anggota KMM (Kesatuan Melayu Muda) dan anggota Jawatankuasa Pusat PKMM (Parti Kebangsaan Melayu Malaya) adalah penaja dan pemimpin pasukan ini dari awal sampai akhir. Berikut adalah petikan tulisan beliau berkenaan penubuhan Rejimen Ke-10.
Penubuhan Rejimen Ke-10
Rejimen Ke-10 adalah sebuah pasukan Melayu Tentera Pembebasan Nasional Malaya. Rancangan untuk mendirikan pasukan gerila Melayu telah dirancang dan diperbincangkan dalam Sekolah Parti Kem Se-Malaya pada pertengahan Jun 1948 (lihat bab 35). Mengikut rancangan asal, di Temerloh akan didirikan satu kompeni dipimpin Kamarulzaman Teh, satu kompeni di Jerantut dipimpin Rashid Maidin dan saya mendirikan satu kompeni di Benta. Akan tetapi, apabila Kamarulzaman dan Rashid Maidin ditangkap, semuanya telah berubah. Saya ditugaskan untuk menggantikan Kamarulzaman memimpin pasukan di Temerloh.
Abdullah C.D.
Masa penubuhan Rejimen Ke-10 tidaklah dirancang dari awal atau boleh juga dikatakan secara kebetulan sahaja. Ketika itu, saya sedang memimpin Platun 1 bergerak di Jerantut. Chen Nan mengirim surat melalui utusan meminta saya pulang ke Kerdau untuk bermesyuarat. Saya bertolak meninggalkan Platun 1 ke Kerdau bersama beberapa orang pengawal. Dalam perjalanan pulang, saya melalui Gong. Massa Tionghua di situ menghadiahkan saya sedikit sumbu badak (tanduk badak sumbu). Mengikut keterangannya ia menjadi ubat yang paling baik untuk pelbagai penyakit.
Sepeninggalan saya, dalam Platun 1 timbul pertentangan antara orang Jerantut dengan orang Temerloh. Orang Jerantut di wakili Wan Ali mahu pertahankan Jerantut manakala orang Temerloh diwakili Budin mahu pertahankan Temerloh. Kerana pertentangan itu, orang Temerloh dalam Platun 1 juga bertolak balik ke Kerdau mengekori saya dari belakang. Tak lama saya tiba di Kerdau, mereka juga sampai.
Dalam pada itu, satu platun di bawah pimpinan Musa Ahmad dan Wahi Anuar telah diserang tentera British. Dalam pertempuran itu Wahi berpecah dengan pasukan. Komander Platun, Hasan sangat marah terhadap Wahi. Hasan akhirnya memimpin platunnya pulang ke Kerdau. Dalam masa yang sama Wahi dan Musa yang berpecah dari pasukan juga tiba di Kerdau. Jadi secara tidak dirancang, kami semua telah berkumpul di Kerdau.
Kerana kami semua sudah berkumpul, Chen Nan mengadakan perbincangan dengan kami iaitu saya, Musa dan Wahi untuk mendirikan Rejimen Ke-10. Kebetulan pula hari yang kami tetapkan itu ialah tanggal 21 Mei 1949.
Rejimen Ke-10 dirasmikan dalam suatu perayaan yang penuh khidmat dan meriah. Perayaan itu dihadiri oleh Chen Nan, 3 orang pimpinan bahagian Melayu iaitu saya, Wahi dan Musa bersama 2 platun pasukan asas (Platun 1 dan Platun 3). Selain itu terdapat Kompeni Khas Rejimen Ke-6 di bawah pimpinan Hong Yi dan satu kompeni pasukan Tionghua yang baru datang dari Raub, kira-kira 200 orang semuanya.
Chen Nan selaku wakil Jawatankuasa Pusat mengisytiharkan berdirinya Rejimen Ke-10 TPNM dan menyampaikan ucapan. Yang penting ditegaskannya ialah Rejimen Ke-10 adalah tentera Melayu - dari komander hingga ke perajuritnya terdiri daripada putera puteri terpuji bangsa Melayu; Rejimen Ke-10 adalah lambang kemegahan kaum tani Melayu yang luas.
Kemudian saya membuat ucapan, pokoknya menyatakan keazaman pasukan Melayu untuk teguh berjuang demi kemerdekaan ibu pertiwi, memikul harapan nusa dan bangsa khasnya membangkitkan kaum tani yang luas untuk kemerdekaan tanah air dan pembebasan nasional. Sebagai pasukan tentera rakyat kami haruslah tegas mematuhi disiplin TPNM.
Johan telah mempersembahkan 2 lagu berentak march bertajuk TENTERA PEMBEBASAN NASIONAL dan BARISAN GERILA MALAYA. Lagu itu dipersembahkan dengan gaya yang amat menarik. 2 buah lagu ini menjadi lagu rasmi Rejimen Ke-10. Johan adalah seorang pejuang internasionalis dari Indonesia.
Badan pimpinan Rejimen Ke-10 pokoknya berdasarkan ketetapan di dalam persidangan kader di Sekolah Parti Kem Se-Malaya, cuma sedikit perubahan kerana Kamarulzaman dan Rashid Maidin masih di dalam penjara:
Komisar Politik Abdullah CD
Panglima Wahi Anuar
Pegawai Politik Musa Ahmad
Sebelum Rejimen Ke-10 didirikan, PKM telah mendirikan 9 rejimen TPNM, asasnya ialah 8 Rejimen Pasukan Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya yang dibubarkan apabila tamat Perang Dunia Kedua. 9 Rejimen TPNM tersebut didirikan semula setelah penjajah British mengisytiharkan Undang-Undang Darurat pada pertengahan Jun 1948.
Pada 1 Februari 1949, PKM merasmikan Markas Agung TPNM atau Malaya National Liberation Army (MNLA). Sejak itu berbagai pasukan gerila anti-British disatukan di bawah Markas Agung TPNM.
Rejimen Ke-10 yang dirasmikan pada 21 Mei 1949, masih peringkat dalam buaian. Tapi dengan adanya sokongan dan bantuan yang kuat dari kaum tani yang luas dan bantuan pasukan sesaudara, pasukan Rejimen Ke-10 telah tertempa dalam api perang.
Sebagai salah sebuah pasukan Tentera Pembebasan Nasional Malaya, Rejimen Ke-10 harus dengan teguh mematuhi 4 Asas Disiplin dan 10 Fasal Perhatian tentera iaitu:
EMPAT ASAS DISIPLIN
1. Segala tindakan patuh kepada perintah;
2. Tidak mengambil sebatang jarum atau seutas benang pun dari massa;
3. Sebarang rampasan perang harus dirasmikan;
4. Dengan ketat menyimpan rahsia tentera.
SEPULUH FASAL PERHATIAN
1. Pertuturan hendaklah ramah tamah;
2. Berjual beli harus adil;
3. Barang-barang yang dipinjam harus dikembalikan;
4. Ganti kerugian barang-barang yang dirosakkan;
5. Rumah-rumah yang ditumpangi harus dibersihkan;
6. Menghormati adat resam;
7. Jangan memukul atau memaki orang;
8. Jangan merosaki tanaman;
9. Jangan berlaku tidak senonoh terhadap wanita;
10. Jangan menganiayai tawanan perang.
Di samping itu, kerana keistimewaan Rejimen Ke-10 terdiri dari orang Melayu, Markas Agung menetapkan songkok khas berbintang lima yang boleh digunakan untuk sembahyang.
Manifesto Penubuhan Rejimen Ke-10
Selepas dirasmikan penubuhan Rejimen Ke-10, pejabat penerbitan yang dikendalikan oleh satu regu khas di dalam hutan telah mencetak MANIFESTO PENUBUHAN REJIMEN KE-10 dan diedarkan ke serata tempat.
Perisytiharan penubuhan Rejimen Ke-10 telah menggemparkan penjajah British dan memberangsangkan massa rakyat. Pasukan gerila Melayu di berbagai negeri merasa sangat terdorong kerananya. Kaum tani di merata tempat di Pahang menghantar putera puteri mereka yang tersayang memasuki Rejimen Ke-10 untuk meneruskan perjuangan bangsa Melayu menghalau penjajah British. Mereka telah memberikan sokongan dan menjadi sandaran penting bagi Rejimen Ke-10. Oleh itu, Rejimen Ke-10 benar-benar bintang harapan petani Melayu yang luas.
Saya mendapat laporan dari organisasi bawah tanah dan unit pasukan bersenjata Melayu di beberapa negeri bahawa pasukan-pasukan Melayu di Selangor, Johor, Negeri Sembilan, Melaka dan Kedah sangat terberangsang setelah mendapat berita berdirinya Rejimen Ke-10. Mereka menghantar tahniah dan ada yang memohon menyertai pasukan Rejimen Ke-10. Pada tahun 1950, Jawatankuasa Pusat PKM dan Markas Agung TPNM membuat penyusunan semula menetapkan pasukan bersenjata Melayu di berbagai negeri diletakkan di bawah riayah Rejimen Ke-10 di samping bekerjasama dengan organisasi Parti di negeri masing-masing.